Wednesday, June 26, 2013

UX Dalam Kehidupan Seharian: Design Untuk Keselamatan



Design bukanlah bersifat dekoratif atau hiasan semata-mata. Utiliti dan sekuriti juga harus dipertimbangkan dalam design terutamanya di tempat awam.

Kita biasa dengar bagaimana pengguna tandas awam dilarikan seluar mereka berserta dompet dan telefon bimbit. Selain menempatkan lebih ramai pengawal atau polis, ada juga penyelesaian melalui design yang lebih baik.

Contoh yang baik adalah di R&R Lebuhraya Pantai Timur. Terdapat dua perubahan design yang mereka lakukan bagi mengatasi masalah tersebut:

1. Papan Tanda Amaran


Kehadiran papan tanda memberi amaran kepada pengguna bilik air untuk berjaga-jaga. Grafiknya jelas menunjukkan risiko yang wujud.

2. Mengalihkan Tempat Penyangkut Seluar


Mereka mengalihkan penyangkut seluar ke posisi lebih rendah yang tidak mudah dicapai oleh pencuri. Dalam masa yang sama juga penyangkut itu tidak terlalu rendah sehingga menyebabkan seluar terkena lantai apabila digantung.

Wednesday, June 19, 2013

UX Dalam Kehidupan Seharian: Tempat Wudhu'


Mereka yang memakai cermin mata tentu biasa dengan keadaan ini. Setiap kali hendak mengambil wudhu, tercari-cari di manakah hendak diletakkan cermin mata. Jika disangkut pada kolar baju, khuatir terjatuh pula. Hendak diletak dalam poket seluar pula bimbang bingkai cermin mata kemik atau lensa tercalar.

Banyak surau dan masjid kini mengambil kira keperluan pengunjung yang bercermin mata. Ada banyak cara untuk menyediakan tempat letak cermin mata. Jika rekaan awal tidak mesra pengguna, boleh sahaja ditambah kemudian menggunakan bahan-bahan yang murah. Masjid al-Malik Faisal di Petaling Jaya misalnya, menampal cangkuk plastik di tempat wudhu bagi memudahkan jemaah menyangkutkan cermin mata mereka.


Perhatikan tempat wudhu di surau dan masjid di sekitar anda, adakah mesra jemaah bercermin mata? Jika tidak, apakah langkah yang boleh diambil?

Nota: Sketchnote di blog baru www.myuxinfo.com

Friday, June 14, 2013

UX Malaysia Meetup Jun 2013


Dua hari yang lalu saya telah berpeluang menghadiri perjumpaan UX Malaysia. Pertemuan kali ini menampilkan empat speaker yang meliputi pelbagai bidang seperti mobile, akademik, aplikasi bisnes dan front-end web development.


Nantikan nota-nota dalam bentuk sketchnote pada minggu hadapan!


Tuesday, June 4, 2013

UX Dalam Kehidupan Seharian: Perbezaan Ketinggian


Dalam menyediakan sesuatu produk atau perkhidmatan, fikirkan akan terdapat pelbagai jenis pengguna. Jarang sekali sesuatu produk atau perkhidmatan digunakan oleh 'pengguna tipikal' yang sama serba-serbi.

Antara aspek perbezaan yang boleh wujud adalah ketinggian. Sebagai contoh, sebuah pusat membeli-belah biasanya dikunjungi oleh keluarga. Oleh itu, ada yang mempunyai ketinggian dewasa dan ramai juga yang mempunyai ketinggian kanak-kanak.

Pereka yang peka akan perkara ini akan mengambil kira perkara ini dalam rekabentuk ruang dan peralatan. Pusat membeli-belah The Curve menyediakan sinki dengan ketinggian berbeza bagi memenuhi keperluan segmen pengguna yang pelbagai.


Walaupun kanak-kanak tidak memberi wang secara terus kepada pengendali pusat membeli-belah, mereka masih lagi pengguna penting. Mereka juga pergi selangkah lagi dengan mengambil kira perbezaan jangkauan tangan kanak-kanak. Pili air di sinki rendah diletakkan lebih hampir daripada biasa.