Thursday, April 25, 2013

UX Dalam Kehidupan Seharian: Tabung Masjid


Ada banyak kaedah dan sudut pandang yang boleh digunakan dalam mendekati ilmu UX. Oleh kerana ilmu UX masih baru di rantau Nusantara, kita lihat dulu contoh di ruang lingkup awam sebelum pergi kepada lingkungan komersial.

Ramai antara kita tentunya sudah biasa memberi sedekah melalui tabung-tabung masjid. Kebanyakan masjid dan surau menggunakan peti besi atau peti kayu sebagai tabung derma. Selalunya duit dimasukkan melalui slot kecil di atas atau di tepi tabung.

Slot itu asalnya direka untuk derma duit siling. Apabila dimasukkan duit kertas, penderma terpaksa menolak masuk pula menggunakan pembaris atau kunci. Adakalanya setelah dijolok sekalipun duit masih belum masuk sepenuhnya. Penderma merasa risau kalau-kalau duit dermanya nanti diambil pencuri.

Masjid Kg. Dato Ahmad Said di Perak membawakan inovasi laci pada peti besi tabung derma mereka. Penderma hanya perlu tarik laci, letak duit dan tutupkan kembali. Duit akan jatuh dengan sendirinya dengan selamat ke dalam tabung


Perubahan ini membawa User Experience yang lebih baik kepada penderma. Pertama, mereka gembira melihat cara baru untuk menderma. Kedua, cara derma ini memudahkan mereka. Ketiga, mereka yakin bahawa duit derma selamat disimpan dan tidak tersangkut pada slot kecil seperti biasa.

Monday, April 22, 2013

Kaca Mata UX

Bagaimana berfikir tentang UX? Apakah kaca mata sudut pandang User Experience?

Pengamal UX memikirkan apa yang orang lain fikirkan dan rasa apabila menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan. Adakah pelanggan atau pengguna akan merasa gembira apabila menggunakannya? Adakah dia merasa senang hati kerana dapat menyelesaikan masalahnya?

Dalam erti kata lain, pengamal UX menggunakan empati - meletakkan diri mereka dalam tempat pengguna. Setelah dapat meletakkan diri dalam tempat pengguna barulah pengamal UX memikirkan apa yang memudahkan pengguna.

Dalam entri-entri akan datang saya akan tunjukkan bagaimana tempat seperti surau dan masjid pun mempunyai contoh-contoh UX yang baik.

Thursday, April 18, 2013

Paradigma Baru

UX adalah satu strategi dan bukannya taktik semata-mata. Malah, UX memerlukan paradigma yang berbeza berbanding strategi korporat yang tegar menganalisa nombor. Perbezaannya juga sangat mendasar pada tahap mazhab pemikiran iaitu antara Critical Thinking dan Design Thinking.

Fokus UX untuk memberi kegembiraan dan kemudahan kepada pengguna adalah bertentangan dengan pemikiran bisnes kapitalis biasa. Percaturan kapitalis dan industrialis adalah mengekstrak sebanyak mungkin keuntungan dari pasaran. Produk direka untuk mengurangkan kos bagi pihak pengeluar dan pengguna terpaksa menerima produk yang ditawarkan.

Pemikiran tersebut sudah semakin lapuk seiring dengan pengakhiran era industrial. Pengguna bukan lagi membeli bahan komoditi dan produk tetapi sebenarnya membeli pengalaman. Mereka sanggup membayar lebih untuk memenuhi keperluan emosi mereka.


Strategi UX memerlukan usahawan melihat dunia dan pasaran melalui 'mata hati' yang berbeza. Kita akan sama-sama lihat bagaimana UX yang bagus sebenarnya wujud di sekeliling kita. Aplikasinya luas dalam kehidupan seharian dan bisnes itu sebenarnya hanya satu skop kecil semata-mata.

Monday, April 15, 2013

Mengapa & Apa Itu UX?

Terdapat begitu banyak produk dan perkhidmatan dalam pasaran yang menawarkan fungsi yang serupa. Antara perkara yang membolehkan produk tersebut menjadi remarkable adalah UX yang hebat. UX yang hebat bukan sahaja membolehkan pengguna menggunakan produk dengan betul malah menggembirakan pengguna. Ini memberikan competitive edge kepada produk tersebut.

Ilmu ini bermula sebagai ergonomics dalam kejuruteraan lalu menjadi HCI (Human Computer Interaction) dalam sains komputer dan akhirnya berubah menjadi UX (User Experience) dalam IT serta bisnes secara amnya.


Pada asasnya, UX terletak antara persimpangan tiga komponen iaitu pengguna, teknologi dan bisnes. Intipatinya adalah bagaimana untuk mengharmonikan keperluan ketiga-tiga bahagian bagi menghasilkan user experience yang bagus. UX bukan design semata-mata tetapi juga adalah strategi bisnes.

Pada tahap yang lebih terperinci, UX sebenarnya melibatkan begitu banyak bidang. Rajah di bawah adalah berdasarkan buku The Discipline of User Experience Design oleh Dan Saffer.


Blog ini akan meliputi apa sahaja disiplin yang terdapat dalam rajah-rajah di atas dengan fokus khusus kepada Nusantara. Kita akan lihat bagaimana UX diaplikasikan dalam konteks Nusantara. Lebih spesifik lagi, kita akan lihat bagaimana menggunakan modal budaya dalam mereka strategi UX yang menguntungkan.